Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula
dari tahun inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. Selepas itu, Tanah
Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke
tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Penjajahan
British merupakan penjajahan paling lama. British telah mencampuri semua urusan
pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu
dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini telah
menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan. Beberapa
individu bangkit menentang penjajah namun oleh kerana usaha mereka lebih kepada
bersifat perseorangan maka penentangan tersebut dengan mudah dipatahkan oleh
British. Antara tokoh yang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok
Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi dan beberapa
tokoh yang lain.
Pada era 1920-an dan 1930-an, ramai penduduk Tanah Melayu
mula mendapat pendidikan, sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan.
Hasilnya, muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat
nasionalisme. Mereka menggunakan media seperti akhbar dan majalah untuk
menyebarkan ideologi masing-masing. Ada dalam kalangan mereka telah membentuk
persatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Melayu Singapura
(KMS) yang bermatlamat mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri. Ketika
rakyat negara ini begitu bersemangat untuk menamatkan penjajahan, mereka
dikejutkan dengan pendaratan Jepun pada penghujung tahun 1941 yang menandakan
bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Jepun telah menduduki
Tanah Melayu sehingga tahun 1945 sebelum menyerah kalah ekoran pengeboman
Hiroshima dan Nagasaki.
Pengunduran Jepun telah memberi ruang kepada Parti Komunis
Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dengan
membunuh dan memusnahkan harta benda awam dengan sewenangnya sehingga memaksa
British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960). Keganasan PKM
tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Sekembalinya
British selepas pendudukan Jepun, mereka cuba memperkenalkan Malayan Union.
Pengenalan ini telah mendapat tentangan yang hebat dan menyeluruh daripada
penduduk tempatan. Pada 11 Mei 1946, penubuhan UMNO telah menyemarakkan lagi
penentangan tersebut dan seterusnya menyemai bibit-bibit perjuangan ke arah
berkerajaan sendiri.